Sunday, November 11, 2012

Ibu Berjiwa Kental


Ibu berjiwa kental

KUALA LUMPUR: Tiga wanita ini layak digelar ibu mithali kerana berjiwa kental dalam mengharungi pelbagai dugaan menjaga anak kurang upaya kritikal terlantar (AKUKT).

Ujian mereka sungguh hebat. Nooriani Mat Noh, 38, terpaksa menerima hakikat memiliki anak istimewa selepas kehilangan dua anak pertama; anak Norhayati Mohd Idris, 37, pula menghidap sekurang-kurangnya lima penyaki
t serius, manakala Fatiah Man, 41, kerap tidur malam dalam keadaan duduk sambil memeluk anak istimewanya.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu mengalami masalah cerebral palsy (CP), menyebabkan mereka tidak mampu berdikari selain menghidap pelbagai jenis penyakit lain yang memerlukan penjagaan sepenuh masa.

CP atau bahasa mudahnya lumpuh otak adalah satu kategori ketidakupayaan perkembangan apabila bahagian otak tertentu yang mengawal koordinasi dan pergerakan otot dalam badan seseorang mengalami kerosakan.

Ikuti pengalaman tiga wanita tabah ini ketika ditemui Metro Ahad di Pusat Perlindungan dan Jagaan Persatuan Sokongan Ibu dan Anak Kurang Upaya Azwar Kuala Lumpur dan Selangor (Psiaku Azwar) di Taman Batu Muda, Batu Caves, di sini. - myMetro 11 Nov 2012

‘Lidah putus lepas tergigit’

TIDUR duduk dan bersandar di katil sambil memeluk Saidatul Hafidah Azahar yang berusia lima tahun enam bulan menjadi lumrah dalam hidup Fatiah.

Menurutnya, anaknya dilahirkan sihat tetapi ketika berusia setahun enam bulan, tiba-tiba Saidatul Hafidah atau Ifa jatuh pengsan dan nafasnya terhenti 10 minit, mengakibatkan oksigen tidak sampai ke otak, sekali gus menjejaskan perkembangannya.

“Sejak itu, Ifa mengalami CP dan susah tidur. Kalau ikutkan, doktor suruh berikan ubat tidur kepada Ifa setiap malam. Dulu, saya berikan Ifa ubat tidur dan dia lelap pada jam 10 malam dan bangun jam 4 atau 6 pagi.

“Bagaimanapun, disebabkan tak mahu terlalu bergantung kepada ubat tidur kerana bimbang banyak kesan sampingan, saya memberhentikan pengambilan ubat untuk Ifa, cuma diberi ketika keadaan betul-betul memerlukan,” katanya.

Dia memberikan Ifa ubat tidur setiap malam daripada usia kanak-kanak itu setahun enam bulan hingga empat tahun.

“Selepas penggunaan ubat tidur dihentikan, Ifa cuma tidur jam 2 atau 3 pagi setiap hari. Pernah dia tidak tidur tiga hari tiga malam. Akibatnya, saya dan suami (Azhar Jamhari yang berkhidmat sebagai tentera) menjaganya bergilir-gilir.

“Disebabkan tidak cukup tidur, ketika di pejabat saya sering mengantuk dan mengambil peluang untuk tidur seketika. Mujur rakan faham keadaan saya yang perlu menjaga anak istimewa,” katanya yang bekerja sebagai kerani.

Lidah Ifa putus akibat tergigit sendiri ketika kejang akibat sawan sewaktu di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 2008.

Menurutnya, menjaga AKUKT memerlukan kesabaran tinggi kerana selain sukar tidur, Ifa sering sawan tetapi kini penyakit itu makin berkurangan.

“Alhamdulillah, suami boleh terima keadaan anak kami. Dia yang sering memberi kekuatan dan dorongan kepada saya. Kadangkala bila hilang sabar, suami menenangkan saya.

“Bayangkan, daripada anak yang sihat, boleh bercakap dan memanggil saya mama, kini dia hanya terlantar. Dulu dia terpaksa bernafas menerusi leher, tapi saya minta doktor buka tiub berkenaan dan kini Ifa boleh bernafas seperti biasa,” katanya.

Ifa diberi minum susu menggunakan picagari. Sebanyak lapan tin susu diperlukan setiap bulan selain ampin pakai buang, membabitkan kos RM700. - myMetro 11 Nov 2012

No comments:

Post a Comment

Daisypath Anniversary tickers