Polis hari ini menahan seorang pelajar kolej berhubung
tindakan beberapa orang peserta semasa sambutan ambang merdeka di Dataran
Merdeka pada malam Jumaat lalu.
Lelaki berusia 19 tahun itu difahamkan ditahan di sebuah kolej di Cheras, Kuala
Lumpur pada tengahari tadi.
Dalam kejadian pada Jumaat
malam lalu, seorang lelaki dilaporkan menunjukkan punggungnya pada gambar
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga gambar isteri perdana menteri
Datin Seri Rosmah Mansor.
Dalam gambar insiden tersebut
yang kini beredar di Internet, seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an,
kelihatan melondehkan seluarnya dan turut menunjukkan punggungnya pada gambar
Najib, Rosmah serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz
Yusof.
Tindakan menunjukkan punggung
tersebut menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Umno, PAS dan PERKASA.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata
sebelum ditahan, pelajar berusia 19 tahun dari Batu Pahat, Johor itu dibawa
oleh ibu dan bapanya untuk bertemu pengurusan kolej berikutan gambar anaknya
tersiar di akhbar dan dikaitkan dengan kejadian itu.
"Kami difahamkan oleh orang awam bahawa pelajar semester tiga Diploma
Multimedia Kreatif itu telah pulang ke kampungnya di Batu Pahat selepas malam
kejadian akibat takut dengan perbuatan yang dilakukannya.
"Justeru, kami telah memohon kerjasama kolej bagi memujuk pelajar itu
untuk kembali ke kolej, dan hari ini beliau telah di bawa oleh ibu bapanya
kerana dimaklumkan pihak pengurusan kolej ingin bertemunya tanpa memberitahu
polis sedang mencarinya," katanya kepada pemberita selepas menemui pelajar
itu di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah Dang Wangi.
Abdul Jalil berkata dua pelajar lelaki yang juga rakan sekolej suspek yang
berada bersamanya di Dataran Merdeka pada malam itu turut tampil menjadi saksi
dan memperakui perlakuan yang dilakukan pelajar tersebut.
Ditanya sama ada tindakan pelajar itu dipengaruhi mana-mana parti politik,
beliau berkata setakat ini siasatan ke atas insiden berkenaan belum menjurus ke
arah itu.
"Berdasarkan percakapan awal dengan pelajar yang juga anak bongsu daripada
dua adik beradik itu, beliau mengakui hadir ke Dataran Merdeka bagi menyambut
malam ambang merdeka," katanya.
Abdul Jalil berkata bagi melengkapkan siasatan, polis akan mengunjungi kediaman
pelajar itu untuk mencari baju serta pakaian yang dipakainya pada malam
kejadian.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta 10 lagi individu yang dikaitkan dengan
insiden memijak dan membawa bendera 'baharu' Malaysia supaya tampil ke mana-mana
balai polis bagi membantu siasatan.
"Alamat 10 individu itu telah diketahui, namun ketika dikunjungi, individu
berkenaan tidak lagi tinggal di situ," katanya.
Sebelum ini, Polis Diaraja Malaysia membentuk tiga pasukan khas untuk menyiasat
tindakan peserta perhimpunan itu yang membawa bendera "baru"
Malaysia, memijak gambar pemimpin dan menunjuk punggung di khalayak ramai
berdasarkan Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 290, 504 dan 509
Kanun Keseksaan.
